Posting List

Tuesday, September 13, 2011

Pembalak Perlahankan Aktiviti Membalak Di Empangan Bakun

kayu balak milik pembalak tempatan
Kerja-kerja membalak di Empangan Bakun semakin berkurangan atau hampir terhenti hasil daripada pemantauan ketat yang dilakukan oleh Sarawak Forest Cooperation atau lebih dikenali sebagai 'Forest' di kalangan orang tempatan sekitar Empangan Bakun. Ini adalah hasil daripada aduan oleh tiga orang ketua kaum daripada Belaga sepertimana yang didedahkan oleh Menteri Perancangan dan Pembangunan Sumber II Datuk Amar Awang Tengah.
         Di dapati banyak rumah terapung yang dijadikan khemah membalak dibiarkan kosong dan ada sesetengahnya dirobohkan.Juga tidak kelihatan rakit-rakit kayu balak sepertimana biasanya. Tindakkan pengawasan ketat oleh pihak berkuasa adalah faktor pembalak-pembalak yang mana kebanyakannya penduduk asal berasa bimbang untuk meneruskan aktiviti membalak seperti biasa.
         Seorang pembalak yang tidak mahu identitinya dikenali mengatakan bahawa beliau terpaksa menghentikan operasi membalaknya buat sementara waktu akibat daripada keadaan tidak menentu ini. Kini beliau cuma mempunyai seorang pekerja, bekerja untuk menjaga rumah rakitnya kerana khuatir akan peralatan membalaknya dicuri. Beliau mengatakan bahawa ada pekerja-pekerjanya yang kebetulan pergi cuti beraya pada bulan yang lepas ingin kembali bekerja, tetapi beliau menolak hasrat mereka kerana tidak mahu mengambil risiko.
         Beliau mengatakan keadaan kini amat sukar kerana harga yang ditawarkan oleh WARGANA iaitu syarikat yang diberi    lesen membalak dikawasan Takungan Bakun menawarkan harga yang terlalu rendah iaitu cuma 1/3 daripada harga yang ditawarkan oleh Taukey beliau sebelum ini. Contohnya Taukey beliau sebelum ini sanggup membeli dengan harga sehingga RM170 se-tan bergantung kepada saiz dan kualiti kayu, tetapi Wargana cuma menawarkan harga RM50.00 se-tan.
         Dengan kenaikan air yang semakin cepat akibat hujan lebat beberapa hari ini kawasan membalak di sekitar empangan Bakun semakin berkurangan. Jika sesuatu tidak dilakukan dengan segara untuk mengatasi masalah ini, maka adalah menjadi kerugian kepada semua sekiranya kayu-kayu tersebut tenggelam begitu sahaja.

Rujuk lampiran daripada Akhbar Borneo Post pada keluaran 24 Ogos 2011 yang lepas seperti dibawah ini:



SFC lancar operasi besar-besaran banteras balak haram di Bakun

Posted on August 24, 2011, Wednesday
KUCHING: Sarawak Forestry Corporation (SFC) akan melancarkan semula operasi besar-besaran membanteras kegiatan pembalakan haram di kawasan Empangan Hidroelektrik Bakun (Empangan Bakun), kata Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Bercakap pada sidang media di pejabatnya di Wisma Sumber Alam dekat sini semalam beliau berkata operasi yang dihentikan pada Jun tahun ini kembali dilakukan ekoran laporan berlaku kegiatan pembalakan haram di sekitar empangan itu.
“SFC akan melancarkan semula operasi besar-besar membanteras aktiviti pembalakan haram di sekitar Bakun dengan serta-merta selepas ia diberhentikan beberapa bulan lalu.
“Kita menyangkakan kegiatan ini tak akan berlaku lagi, nampaknya tanggapan kita ini tidak benar. Jadi kita perlu melancarkan semula operasi ini bagi memastikan tiadanya pembalakan haram atau setidak-tidaknya mengurangkan kegiatan ini,” katanya.
Awang Tengah yang juga Menteri Kemudahan Awam berkata SFC telah memulakan operasi membanteras kegiatan itu pada April 2011 bagaimanapun ditamatkan pada Jun 2011 kerana kekangan kewangan.
Menurutnya menerusi operasi yang berlangsung selama dua bulan itu, SFC telah merampas 500 batang balak dan menyita sebuah kilang papan haram.
Beliau menambah SFC telah mengeluarkan lesen bagi mengumpul serpihan kayu dan balak dalam lingkungan lima kilometer di Empangan Bakun kepada Wargana Consortium Sdn Bhd berkuat kuasa 15 Julai 2011 hingga 14 Januari 2012.
“Terima kasih kepada semua ketua masyarakat yang prihatin dan telah membangkitkan isu ini. Dalam hal ini kerjasama orang ramai amat diperlukan dalam memberi maklumat yang tepat kepada kita supaya tindakan segera dan sewajarnya boleh diambil,” katanya.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Datu Len Talif Salleh yang dihubungi semalam berkata pihaknya akan memastikan kesahihan laporan berkaitan isu pembalak haram dan samseng di tasik Bakun yang dibuat oleh tiga ketua masyarakat Orang Ulu di Belaga.
Menurut beliau, SFC yang kini dalam proses berkenaan akan berusaha mendapatkan penjelasan sebenar daripada ketua komuniti itu.
Bagaimanapun katanya segala tindakan yang akan diambil diserahkan kepada kementerian yang bertanggungjawab.
“SFC sememangnya melakukan pemantauan dan penguatkuasaan berterusan sejak dahulu lagi, tetapi kita kena faham aktiviti pembalakkan bukannya dapat dihapuskan serta merta,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo di sini, semalam.
Malahan beliau memberitahu pemantauan itu bukan sahaja di lakukan di kawasan Bakun tetapi di semua kawasan di negeri ini.
Selasa lepas The Borneo Post melaporkan pembalak haram dan gangster telah melakukan penebangan balak secara haram di kawasan empangan Bakun semenjak 10 bulan lepas sehingga mengganggu kerja-kerja mengumpul serpihan kayu serta balak terapung di situ.
Kehadiran ‘orang luar’ itu juga dikatakan telah menyebabkan penduduk setempat takut menangkap ikan, memburu hidupan liar serta memungut hasil hutan lain seperti lazimnya dilakukan selama ini.

No comments:

Post a Comment